his life..


Nama : Shahrul Anuar Bin Zain
Nama Artis : Anuar Zain
Tarikh Lahir : 15 Februari 1970
Anak Ke : 2 Dari 5 Beradik
Bintang Zodiak : Aquarius
Kerjaya : Penyanyi & Berlakon
Makanan Kegemaran : Berubah-ubah mengikut selera
Minuman Kegemaran : Teh Tarik
Warna kesukaan: Perang, biru, kelabu & merah
Idola : Ayah saya sendiri
Penyanyi Kegemaran: Ziana Zain, Dayang, Siti Nurhaliza, Whitney Houston & ramai lagi
Pelakon Kegemaran: Julia Roberts, Amy Mastura, Elly Suriati, Ruth Sahanaya
Wanita Pilihan: Seseorang yang menerima dirinya sebagai Shahrul Anuar bukan Anuar Zain.
Visi Anuar : Mengembangkan karier seni ke peringkat lebih tinggi.

Alamat Surat Menyurat : ANUAR ZAIN NETWORK SDN. BHD.
J7 - 4 - 10 , DESA PANDAN OFF JALAN KAMPUNG PANDAN , 55100 KUALA LUMPUR





Bila ada orang menyebut Shahrul Anuar, tidak ramai yang mengenali si empunya badan. Namun apabila nama Anuar Zain disebut-sebut, ramai yang menoleh, malah ramai yang mengenali jejaka laris ini.

Anuar Zain dilahirkan pada 15 Februari 1970. Anuar Zain memulakan karier sebagai penyanyi dan penghibur sejak di bangku sekolah lagi. Pada awal usia kanak-kanaknya, Anuar Zain telah mampu pergi jauh mencipta nama besar di dalam industri muzik negara. Bergandingan dengan rakan seperjuangan Elina, mereka kemudiannya berjaya menjulang lagu yang masih melekat di ingatan semua orang, Kain Pelikat.

Berkat keindahan lagu Kain Pelikat, Anuar dan Elina melangkah lebih jauh lagi di dalam bidang nyanyian sehinggalah mereka remaja. Salah satu lagu popular di usia remaja mereka adalah Kesan Kelukaan. Lagu ini masih lagi berkumandang di corong radio Singapura. Lunak suara dan mantapnya gandingan mereka membuahkan hasil yang baik. Nama Anuar Zain dan Elina sentiasa meniti di bibir masyarakat, di antara penyanyi duet yang berjaya ketika itu. Namun entah kerana apa, gandingan mereka menyepi dan terus menyepi setelah bertahun-tahun bersama.

Anuar Zain kemudiannya mengambil keputusan membawa haluan diri dengan menyertai Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) sebagai Peramugara. Luasnya pengalaman Anuar bersama MAS, begitu juga luasnya peluang untuk Anuar memulakan semula langkah yang terhenti. Sesekali memenuhi undangan nyanyian jika ada kelapangan membuatkan Anuar terfikir untuk kembali ke dunia seni hiburan. Berkat keazaman Anuar, dan rindu yang mencengkam terhadap bidang nyanyian, mempertemukan Anuar dengan peluang yang dinanti-nantikan selama ini.

Anuar memulakan langkah pertama dengan menandatangani kontrak bersama Warner Music Malaysia, dan berjaya menghasilkan sebuah album yang berpotensi besar untuk menakluk industri yang berlabelkan namanya sendiri ‘ANUAR ZAIN'. Setelah sepuluh tahun menyepikan diri, album pertama yang muncul pada tahun 1998 boleh dikatakan sebagai ‘come back' Anuar Zain ke dalam industri seni yang penuh cabaran. Memuatkan lagu-lagu berirama segar seperti ‘ Bila Resah, Tangisan Naluri Jangan Bersedih Lagi dan Musim Berlalu, berjaya menaikkan semula nama Anuar Zain di dalam industri seni. Namanya mula bermain di bibir para peminat dan pendengar. Pendengar yang dewasa bersama Anuar Zain, mula teringat kembali detik-detik awal pembabitan Anuar di dalam industri.

Dengan kehebatan vokal dan kekuatan Anuar Zain sendiri, pada tahun 2000, Anuar telah dinobatkan sebagai ‘Artis Baru Terbaik' melalui Anugerah Industri Muzik (AIM)'99. Anugerah ini adalah pakej untuk Anuar melangkah lebih jauh lagi di dalam bidang seni.

Namun pedih dan peritnya beban yang digalas Anuar untuk tidak mensia-siakan anugerah yang diterimanya, memaksa beliau untuk terus meninggalkan dunia penerbangan. Beliau serius untuk menjadi penyanyi dan penghibur di dalam industri muzik tanahair. Dari situlah bermulanya langkah Anuar untuk memantapkan kedudukannya sebagai pendatang baru dunia seni.

Seni dan kontroversi tidak dapat dielakkan. Setelah lama berlindung di bawah naungan Warner Music, berlaku perselisihan antara Anuar dan pihak syarikat rakaman yang menyaksikan Anuar meninggalkan Warner Music atas alasannya yang tersendiri. Anuar kemudian meneruskan usahanya secara sendirian sebelum kemudiannya dilamar oleh syarikat rakaman Synchrosound Music Sdn Bhd. Dibawah label baru ini, Anuar mengharapkan kejayaan untuk kerjaya seninya. Dengan semangat yang kuat dan kerjasama baik antara mereka, Anuar berjaya menghasilkan satu album penuh yang cukup berkualiti pada ketika itu. Anuar mempertaruhkan lagu-lagu ‘killer' seperti Keabadian Cinta, Semua untukmu dan Mungkin yang sehingga kini masih sering diputarkan di corong-corong radio tempatan.

Penangan Anuar pada album kali ini berbalas apabila lagu ‘keabadian Cinta menerima anugerah lagu terbaik AIM. Seterusnya selepas itu, satu demi satu anugerah berada di genggaman Anuar Zain. Antara anugerah yang berjaya dicapai adalah, anugerah Penyanyi Lelaki Terbaik ( AIM'99), Anugerah Personaliti hiburan ( APH'02), Vokal Lelaki Pilihan ( AE'03) ANUGERAH ERA 2005 (ae'05), Penyanyi Lelaki Paling Popular (APM'04), Artis Lelaki Popular ( APM'05 ) dan banyak lagi yang memberi semangat kepada Anuar Zain untuk terus bertapak di dunia seni hiburan.

Hanya menghasilkan satu album penuh bersama Synchro, Anuar berpatah arah dan berkeputusan untuk memecah kontrak rakamannya. Anuar kemudian meneruskan kerjaya dan bergerak solo mengembangkan sayapnya sebagai penyanyi lelaki pilihan pada ketika itu. Penarikan diri Anuar daripada syarikat rakaman Synchro memeranjatkan semua peminatnya. Bagai satu kekesalan apabila Anuar memilih untuk bersendirian tatkala namanya masih menjulang naik. Namun Anuar punya alasan sendiri untuk berlaku demikian. Anuar membuktikan walaupun hanya bergerak sendirian tanpa album, Anuar mampu menitip kejayaan peribadi. Anuar masih menjadi pilihan penaja-penaja untuk membuat persembahan sempena minggu setiausaha, malah menjadi artis favourite untuk menjayakan program setahun sekali ini.

Kepercayaan penaja kepadanya membuatkan nama Anuar tidak hilang dari sebutan. Mendendangkan lagu-lagu yang ridak lapuk diingatan dan tak bosan didengar, Anuar menanam janji buat peminatnya, apabila dia sendiri mengumumkan akan menghasilkan album tidak lama lagi. Khabar angin yang tersebar luas memberi ‘hint' kepada semua pemerhati industri bahawa Anuar bakal keluar dengan album baru yang tidak 100% buatan tempatan. Anuar sering dikhabarkan berulang alik ke Indonesia untuk mencari material bagi album barunya. Namun kerana terlalu lama berita itu kedengaran, soseh-soseh orang ramai dan peminat mula lesu dan semakin terlupa tentang war-war penghasilan album barunya.

Anuar masih terus menghiburkan peminat dengan lagu-lagu terdahulunya. Nyata kesungguhan Anuar dan kemesraannya melayani peminat membuatkan Anuar sentiasa disenangi.

Sehinggalah hanya selepas lima tahun bergerak sendiri tanpa album, Anuar mengejutkan industri seni dengan penghasilan album ketiganya berjudul ANUAR ZAIN yang rata-rata pemilihan lagunya dan juga penglibatan komposernya adalah bukan dari komposer tempatan.

Kontroversi melanda apabila Anuar dituduh membelakangkan karya tempatan dan mengagungkan karya luar. Anuar tegas membalas tohmahan tersebut dengan rasa rendah diri. ‘ Muzik adalah universal', katanya. Ia perlu dihayati oleh semua orang.

Dan kerana positif Anuar terhadap penghasilan albumnya, Anuar menutup mulut-mulut orang yang tidak senang dengan keputusannya dengan kejayaan albumnya meraih anugerah platinum setelah hanya 2 bulan dipasarkan tanpa promosi menyeluruh. Kekuatan vokal Anuar nyata menyerlah apabila lagu Lelaki Ini berjaya disampaikan dengan begitu baik sekali. Album ini kemudiannya mendapat kritikan membina dari wartawan hiburan dan pemerhati seni justeru mengendurkan ketegangan kontroversi yang melanda. Album kali ini memang berbeza. Antara album terbaik yang terhasil sepanjang 2007 ini. Menduduki carta teratas radio, Lelaki Ini kemudian dilanda konterversi sendiri apabila dikatakan punya persamaan dengan lagu tema sebuah telenovella Philipina. Namun kontroversi itu tidak terus menghantui Anuar apabila tanpa diulas, ia hilang sendiri ibarat daun kering yang gugur ke bumi…

Album terbaru ini memuatkan 10 lagu berhantu yang antaranya seperti ‘Lelaki Ini, Ketulusan hati, Jangan Pernah lagi, Teman Terulung, Kau Bunga Cintaku dan banyak lagi. Ternyata kualiti album ini amat berbeza sekali berbanding album terdahulu. Anuar memuatkan 8 lagu balada dan hanya 2 lagu rancak yang semuanya memenuhi selera peminat-peminat yang telah lama menunggu kemunculan album istimewa ini. Benarlah kata Anuar, album kali ini benar-benar menceritakan kemahuan dirinya. Mempunyai ruang untuk memilih lagu sendiri, adalah advantage pada Anuar. Hasilnya…. NAH!!! Sebuah album yang sangat berkualiti pada tahun 2007.!

Belum reda kontroversi albumnya, Anuar sekali lagi dilanda kontroversi apabila Syarikat Rakaman Synchrosound bertindak menyaman beliau kerana memecah kontrak. Kes ini telah memulakan prosidingnya di mahkamah. Anuar membuat permohonan balas untuk membatalkan saman itu atas sebab tidak ada sebab munasabah untuk meneruskan saman tersebut. Pihak Synchro seperti bermain tarik tali apabila tidak pernah sekalipun menghadirkan diri ke mahkamah untuk membuat tuntutan.

Anuar kemudiannya menutup kontroversi tersebut apabila mahkamah memutuskan dan membenarkan Anuar untuk membatalkan saman kerana pihak menuntut tidak menunjukkan minat untuk meneruskan tuntutan dan kes.

Kini Anuar semakin rancak dengan promosi albumnya dan meneruskan kerjaya seninya dengan penuh keikhlasan demi peminat yang tak pernah jemu menanti kemunculannya. Anuar Zain sering menjadi tumpuan utama di dalam setiap persembahannya. Anuar mampu tersenyum lega dengan perkembangan album dan dirinya kini… 2007 menjadi saksi kejayaan Anuar di dalam bidang seni suara……………….

Menjadi harapan semua peminat agar Anuar Zain dapat terus bertahan di dalam dunia seni hiburan yang penuh dengan dugaan, cubaan dan kontroversi yang tidak berpenghujung………

Semoga berjaya Anuar Zain…!

0 comments:

Post a Comment